Saturday, February 26, 2011

Majlis Sekalung Budi Sejambak Kasih


24 Februari 2011 -  Berlangsungnya Majlis Sekalung Budi Sejambak Kasih Sempena perpisahan Encik Roslan bin Mat Ustazah Supura binti Ngah.  Encik Roslan bin Mat telahpun memulakan tugas baru di PPD Kuala Terengganu sebagai Pegawai LINUS. Ustazah Supura binti Ngah  pula telah bertukar ke SK Tengku Bariah. Majlis dimulakan dengan ucapan Naib Pengerusi Kelab Guru, ucapan Guru Besar dan ucapan guru-guru yang bertukar. Majlis diakhiri dengan jamuan.

Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sekolah


24 Februari 2011 -  SKBK telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Maulidur Rasul bagi tahun 2011/1432H. Sambutan yang bertemakan 1 Malaysia 1 Ummah disambut dengan begitu meriah dengan pelbagai aktiviti seperti perarakan pelajar, ceramah oleh Ustaz Ariffuddin bin Dzulkefli, pertandingan bercerita, pertandingan kuiz dan pertandingan sepanduk tercantik. Sambutan dimulakan dengan ceramah kemudian diikuti perbarisan dan perarakan para peserta yang berbaris dan berarak mengikut kelas. Para peserta memakai pakaian bertemakan warna rumah masing-masing serta membawa sepanduk.Majlis disempurnakan lagi dengan penyampaian hadiah oleh Tuan Guru Besar sebagai acara penutup majlis.  Tahniah diucapkan kepada semua guru, kakitangan dan semua pelajar yang memberi kerjasama sepanjang majlis berlangsung.

Monday, February 21, 2011

Kem Matematik

19 Febuari (Sabtu) – Panitia Matematik telah menganjurkan Kem Matematik (Teknik Menjawab). Kem ini melibatkan guru-guru Matematik  dan murid-murid tahun enam. Objektif kem ini ialah untuk meningkatkan pencapaian ‘A’ dan minima ‘C’ dalam UPSR 2011. Kem ini telah dikendalikan oleh fasilitator jemputan iaitu Encik Alias bin Abdul Rahman.





Monday, February 14, 2011

Maulidur Rasul


Fail:Muhammad.jpg

Surah Al-Anbiya, ayat 107 bermaksud:
"Dan tidak kami (Allah) utuskan kamu (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam."

Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam (Arab: نبي محمد صلى الله عليه وسلم‎) adalah pesuruh Allah yang terakhir. Baginda adalah pembawa rahmat untuk seluruh alam dan merupakan Rasulullah bagi seluruh umat di dunia. Sesungguhnya Nabi Muhammad merupakan satu anugerah dan kurniaan Allah SWT kepada umat manusia untuk menunjukkan jalan yang lurus dan benar. Baginda bukan sahaja diangkat sebagai seorang rasul tetapi juga sebagai khalifah, yang mengetuai angkatan tentera Islam, membawa perubahan kepada umat manusia, mengajarkan tentang erti persaudaraan, akhlak dan erti kehidupan yang segalanya hanya kerana Allah SWT. Nabi Muhammad dilahirkan di Makkah, Arab Saudi dan kembali ke rahmatullah di Madinah. Nabi Muhammad merupakan pelengkap ajaran Islam setelah Nabi Musa dan Nabi Isa

Kelahiran
Nabi Muhammad telah diputerakan di Makkah, pada hari Isnin, 12 Rabiulawal (20 April 571M). Ibu baginda, iaitu Aminah binti Wahb, adalah anak perempuan kepada Wahb bin Abdul Manaf dari keluarga Zahrah. Ayahnya, Abdullah, ialah anak kepada Abdul Muthalib. Keturunannya bersusur galur dari Nabi Ismail, anak kepada Nabi Ibrahim kira-kira dalam keturunan keempat puluh.

Ayahnya telah meninggal sebelum kelahiran baginda. Sementara ibunya meninggal ketika baginda berusia kira-kira enam tahun, menjadikannya seorang anak yatim. Menurut tradisi keluarga atasan Mekah, baginda telah dipelihara oleh seorang ibu angkat(ibu susu:-wanita yang menyusukan baginda) yang bernama Halimahtus Sa'adiah di kampung halamannya di pergunungan selama beberapa tahun. Dalam tahun-tahun itu, baginda telah dibawa ke Makkah untuk mengunjungi ibunya. Setelah ibunya meninggal, baginda dijaga oleh datuknya, Abdul Muthalib. Apabila datuknya meninggal, baginda dijaga oleh bapa saudaranya, Abu Talib. Ketika inilah baginda sering kali membantu mengembala kambing-kambing bapa saudaranya di sekitar Mekah dan kerap menemani bapa saudaranya dalam urusan perdagangan ke Syam (Syria).

Sejak kecil, baginda tidak pernah menyembah berhala dan tidak pernah terlibat dengan kehidupan sosial arab jahiliyyah yang merosakkan dan penuh kekufuran.

Waktu Remaja
Dalam masa remajanya, Nabi Muhammad percaya sepenuhnya dengan keesaan Allah. Baginda hidup dengan cara amat sederhana dan membenci sifat-sifat angkuh dan bongkak. Baginda menyayangi orang-orang miskin, para janda dan anak-anak yatim serta berkongsi penderitaan mereka dengan berusaha menolong mereka. Baginda juga menghindari semua kejahatan yang menjadi amalan biasa di kalangan para belia pada masa itu seperti berjudi, meminum minuman keras, berkelakuan kasar dan lain-lain, sehingga beliau dikenali sebagai As Saadiq (yang benar) dan Al Amin (yang amanah). Baginda sentiasa dipercayai sebagai orang tengah kepada dua pihak yang bertelingkah di kampung halamannya di Mekah.

Kerasulan
Muhammad telah dilahirkan di tengah-tengah masyarakat jahiliyah. Ia sungguh menyedihkan hatinya sehingga beliau kerapkali ke Gua Hira, sebuah gua bukit dekat Makkah, yang kemudian dikenali sebgai Jabal An Nur untuk memikirkan cara untuk mengatasi gejala yang dihadapi masyarakatnya. Di sinilah baginda sering berfikir dengan mendalam, memohon kepada Allah supaya memusnahkan kedurjanaan yang kian berleluasa.

File:Cave Hira.jpg

Pada suatu malam, ketika baginda sedang bertafakur di Gua Hira, Malaikat Jibril mendatangi Muhammad. Jibril membangkitkannya dan menyampaikan wahyu Allah di telinganya. Baginda diminta membaca. Baginda menjawab, "Saya tidak tahu membaca". Jibril mengulangi tiga kali meminta Muhammad untuk membaca tetapi jawapan baginda tetap sama. Akhirnya, Jibril berkata:


"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang menciptakan manusia dari segumpal darah. Bacalah, dengan nama Tuhanmu yang Amat Pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan (menulis, membaca). Dia mengajarkan kepada manusia apa yang tidak diketahuinya."
 
Ini merupakan wahyu pertama yang diterima oleh Muhammad. Ketika itu baginda berusia 40 tahun. Wahyu itu turun kepada baginda dari semasa ke semasa dalam jangka masa 23 tahun. Siri wahyu ini telah diturunkan menurut panduan yang diberikan Rasulullah dan dikumpulkan dalam buku bernama Al Mushaf yang juga dinamakan Al-Quran (bacaan). Kebanyakkan ayat-ayatnya mempunyai erti yang jelas. Sebahagiannya diterjemah dan dihubungkan dengan ayat-ayat yang lain. Sebahagiannya pula diterjemah oleh Rasulullah sendiri melalui percakapannya, tindakan dan persetujuan yang terkenal, dengan nama Sunnah. Al-Quran dan al Sunnah digabungkan bersama untuk menjadi panduan dan cara hidup mereka yang menyerahkan diri kepada Allah.

Rujukan : http://ms.wikipedia.org/wiki/Nabi_Muhammad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...