Wednesday, September 21, 2011

Majlis Restu Ilmu


11 September -  Majlis Restu Ilmu merupakan langkah dan persediaan terakhir calon UPSR untuk menghadapi peperiksaan sebenar. Program ini diadakan untuk menyediakan calon UPSR dari segi fizikal dan mental sebelum menduduki peperiksaan sebenar.  Rasionalnya Majlis Restu Ilmu Ibu Bapa dan Guru serta bimbingan & motivasi mampu menjadi kekuatan kepada murid untuk menghadapi peperiksaan di samping sokongan berterusan dari pihak sekolah.

Antara objektif program:-
  • Memohon keberkatan untuk murid-murid atau calon-calon UPSR dalam menghadapi peperiksaan.
  • Menimbulkan kesedaran dan keinsafan diri tentang peranan dan tanggungjawab sebagai pelajar.
  • Membina kematangan berfikir, bersyukur dan berterima kasih kepada yang telah memberi ilmu.
  • Membina hubungan erat antara murid, guru dan ibu bapa, seterusnya memberi kelapangan dada kepada murid dalam menghadapi UPSR.

Matlamat program supaya murid dapat menyediakan diri dari segi fizikal dan mental menerusi dorongan dan galakan daripada ibu bapa dan guru.

Solat Hajat UPSR



9 September - SKBK telah menganjurkan Majlis Solat Hajat UPSR 2011 yang bertempat di Masjid kampung Beladau Kolam bagi murid-murid UPSR sekolah ini. Seawal jam 6 petang lagi telah ramai ibu bapa dan penjaga murid yang hadir untuk bersama-sama menyertai majlis yang penuh barakah ini. Majlis dimulai dengan solat Maghrib berjamaah, bacaan surah Yaasin dan tahlil, tazkirah, solat Isyak berjamaah dan solat hajat. Mudah-mudahan segala hajat yang telah dihimpun dan dipohonkan ke hadrat Allah SWT diterima dan dimakbulkan Allah. Semoga amalan ini juga diredhai dan diberkati olehNya.

Lawatan Klinik Kesihatan Manir


7 September - Pasukan jururawat Klinik Kesihatan Manir telah mengadakan lawatan ke sekolah. Tujuan lawatan mereka ialah untuk memberikan suntikan pelalian kepada murid Tahun Satu. Suntikan pelalian ini penting untuk memberikan perlindungan dalam tubuh murid daripada sebarang jantikan penyakit yang merbahaya. Pihak sekolah mengucapkan terima kasih kepada pasukan jururawat tersebut.

Perjumpaan Ibu Bapa Tahun 6


4 September - Satu majlis perjumpaan Ibubapa pelajar tahun 6, SKBK telah diadakan pada pagi ini.  Majlis yang diadakan ini adalah untuk mengambil kata sepakat antara ibubapa dan guru dalam meningkatkan lagi tahap pencapaian akademik murid-murid SKBK bagi menghadapi peperiksaan UPSR Dalam majlis yang diadakan pada hari ini ibubapa dan guru matapelajaran  berbincang mengenai pencapaian anak masing-masing bagi setiap mata pelajaran serta strategi yang akan diambil oleh pihak sekolah. Oleh itu besarlah harapan sekolah agar para ibubapa sentiasa memastikan anak-anak membuat latihan, kerja sekolah yang diberikan oleh guru serta hadir kelas tambahan yang diadakan oleh pihak sekolah dari semasa ke semasa. 

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...